3 Mei 2012
IPOH - Seramai 20,000 orang dijangka menyertai Sambutan Hari Belia Negara 2012 (HBN) peringkat negeri Perak yang akan diadakan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim selama tiga hari mulai 11 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata sasaran itu adalah berdasarkan sambutan luar biasa pada program yang sama tahun lepas.
"Pada sambutan tahun lalu, kehadiran adalah di luar jangkaan dan berdasarkan penganjuran secara besar-besaran tahun ini yang menyediakan lebih 45 program, kita mensasarkan jumlah besar itu.
"Program kali ini juga turut memuatkan pertandingan silat terbuka antarabangsa yang akan disertai pelajar universiti dari negara Asia Tenggara," katanya kepada pemberita selepas program wawancara bersama Perak FM hari ini.
Zainol berkata program belia yang berkonsepkan pemimpin bersama rakyat itu akan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada pukul 3 petang pada 12 Mei.
Zainol berkata ia diadakan bagi menghargai golongan belia yang berperanan penting dalam pembangunan negara pada masa hadapan.
"Terdapat lebih 11.9 juta belia di negara ini dan ianya merupakan angka yang besar, jadi kita mengambil inisiatif menjadikan program ini lebih menarik dan interaktif kepada golongan ini," katanya.
Antara program yang akan diadakan adalah merakyatkan seni budaya, pertandingan Muay-Thai, larian, konvensyen dan program agama.
Selain itu, turut diadakan ialah konvoi bermotosikal, pertandingan paintball, kempen keselamatan jalan raya dan forum.
Zainol berkata program kali ini juga tidak hanya tertumpu kepada golongan belia sahaja tetapi turut melibatkan pengunjung pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dan orang dewasa. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/20-000-dijangka-sertai-sambutan-hari-belia-negara-1.45083
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment